ABSTRAK

KEBERKESANAN MODUL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN TAJUK JATUH BEBAS DAN GERAKAN LUNCURAN BERBANTUKAN PERISIAN TRACKER TERHADAP PENCAPAIAN PELAJAR

SITI ROHAIDA BT HASHIM
AZEYATY BINTI CHE AJID

ABSTRAK


Kajian ini bertujuan membangunkan modul pengajaran dan pembelajaran berbantukan perisian Tracker berdasarkan pendekatan pengajaran inkuiri bagi tajuk jatuh bebas dan gerakan luncuran dan menilai keberkesanannya terhadap pencapaian pelajar. Bagi menilai keberkesanan modul, reka bentuk kajian ialah eksperimen. Pembinaan modul adalah berdasarkan model ADDIE. Keberkesanan modul terhadap pencapaian pelajar diuji menggunakan ujian-t. Kajian ini melibatkan keseluruhan populasi seramai 60 orang pelajar fizik program dua tahun di Kolej Matrikulasi Selangor. Mereka dibahagikan sama rata secara rawak ke dalam dua kumpulan iaitu kumpulan kawalan dan rawatan. Dapatan  analisis ujian-t sampel tak bersandar bagi ujian pasca menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dengan min skor pencapaian kumpulan rawatan mengatasi min skor pencapaian kumpulan kawalan. Analisis ujian-t sampel bersandar bagi kumpulan rawatan juga  menunjukkan perbezaan yang signifikan dengan min skor pencapaian pelajar dalam ujian pasca mengatasi min skor pencapaian dalam ujian pra. Kesimpulannya, kajian ini berjaya menghasilkan modul pengajaran dan pembelajaran tajuk Jatuh Bebas dan Gerakan Luncuran yang berkesan dari segi meningkatkan pencapaian pelajar. Implikasinya, penghasilan modul ini boleh dijadikan rujukan kepada pendidik kolej matrikulasi dan sebagai sumber pembelajaran kepada pelajar.

No comments:

Post a Comment